Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    27 terkorban tertimbus tanah

    YAOUNDE, 9 OKT – Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh selepas hujan lebat menyebabkan sebahagian lereng bukit yang dipenuhi rumah, runtuh di ibu negara Cameroon, Yaounde.

    Pasukan penyelamat masih mencari mangsa hari ini selepas tanah runtuh berlaku di daerah Mbankolo, barat laut Yaounde, pada petang semalam.

    Tanah runtuh kerap berlaku semasa musim hujan di bandar yang dihuni hampir tiga juta penduduk, di mana pondok sering didirikan di atas kebanyakan bukitnya.

    Hujan lebat menyebabkan empangan yang mengandungi tasik buatan manusia yang terletak di kawasan lebih tinggi pecah, menurut penyiar awam CRTV dan seorang pegawai tempatan.

    Paul Atanga Nji, Menteri Pentadbiran Wilayah, berkata di tapak itu bahawa jumlah kematian telah meningkat kepada 27, selepas penyelamat sebelum ini mengumumkan 23 telah terkorban.

    “Semalam kami telah mengeluarkan 15 mayat dan pagi ini kami telah menemui lapan orang,” kata pegawai kedua bomba, David Petatoa Poufong kepada pemberita.

    “Kami masih mencari,” katanya.

    Imej yang disiarkan di TV menunjukkan keseluruhan bahagian bukit telah runtuh dan sisa-sisa rumah yang dibina daripada kayu, bata tanah kering dan kepingan logam.

    “Terdapat tanah runtuh selepas hujan lebat. Air menghanyutkan segala-gala yang berada di laluannya,” Daouda Ousmanou, seorang pegawai pentadbiran tempatan mengumumkan di radio awam. – AFP

    Pemandangan runtuhan tanah di daerah Mbankolo, barat laut Yaounde kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda