Saturday, July 6, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    270 menyamar sebagai pembantah ditahan

    NAIROBI, 3 JULAI – Polis Kenya berkata mereka telah menahan lebih 270 orang yang menyamar sebagai penunjuk perasaan yang disyaki melakukan rusuhan jenayah semasa perhimpunan antikerajaan, kelmarin.

    Rompakan dan kerosakan harta benda yang berleluasa telah dilaporkan semasa demonstrasi yang diketuai oleh belia di pelbagai bandar di seluruh negara, yang dikatakan oleh beberapa penunjuk perasaan telah dicerobohi oleh ‘orang jahat’.

    “Pasukan keselamatan di seluruh negara memilih suspek-suspek yang didapati terlibat dalam aktiviti jenayah dengan bertopengkan protes, dan menahan mereka,” kata Direktorat Siasatan Jenayah dalam satu kenyataan yang disiarkan di platform X lewat kelmarin.

    Ia berkata bahawa 204 suspek ditahan di ibu negara Nairobi dan 68 lagi di pelbagai kawasan lain di negara itu.

    “DCI telah mengerahkan lagi penyiasat ke seluruh wilayah yang terjejas untuk mengejar suspek-suspek yang dirakam oleh kamera CCTV dan rakaman telefon bimbit merompak, mencuri dan memusnahkan harta benda serta perniagaan rakyat yang tidak bersalah,” tambah kenyataan itu.

    Demonstrasi kelmarin bermula dalam suasana tenang tetapi kemudian berubah menjadi ganas, dengan polis melepaskan gas pemedih mata ke arah orang ramai yang membaling batu di Nairobi dan kejadian rompakan dan kerosakan harta benda di ibu negara dan bandar-bandar lain. – AFP

    Penunjuk perasaan membantu seorang lelaki yang cedera semasa tunjuk perasaan anti-kerajaan susulan bantahan maut di seluruh negara berhubung kenaikan cukai dan rang undang-undang cukai kontroversial yang kini ditarik balik di pusat bandar Nairobi, pada 2 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...