Monday, October 7, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    270 pelajar SUAMRIPAHS sertai Eksplorasi MIB

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Seramai 270 pelajar tahun 9 menyertai Program Eksplorasi Melayu Islam Beraja (MIB) bagi pelajar-pelajar Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMRIPAHS), Kampung Katok.

    Program anjuran Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja (MTMIB) dengan kerjasama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Ilmu Teras dan Pusat Bahasa adalah untuk meningkatkan pengetahuan pelajar berkenaan elemen-elemen MIB menerusi pembelajaran melalui aktiviti dan pada masa yang sama, meningkatkan kemahiran literasi bahasa Arab dengan mengintegrasikan kandungan MIB.

    Hadir selaku tetamu khas ialah Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Hajah Mariana binti Haji Jamil yang seterusnya melancarkan program berkenaan.

    Dalam ucapan Pengarah Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Haji Mohd Syahiran bin Haji Mohd Sofian, selaku pengerusi bersama program berkenaan, program tersebut menyasarkan pelajar-pelajar sekolah Arab senegara dan buat julung kalinya diadakan di SUAMRIPAHS.

    Antara yang terkandung dalam terma rujukan Urus Setia MTMIB, iaitu untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan termasuk sekolah, agensi swasta dan pihak-pihak lain bagi mengendalikan program berkaitan MIB.

    Sehubungan dengan itu, dicadangkan Program Eksplorasi MIB itu untuk dilaratkan kepada sekolah-sekolah Arab lain di masa hadapan dan dijadikan sebagai antara program tahunan sekolah jika diperkenankan dan dipersetujui bersama.

    Melalui eksplorasi ini, pelajar-pelajar akan berpeluang untuk mempelajari elemen-elemen penting dalam MIB secara praktikal. Terdapat 10 checkpoint yang menguji pengetahuan mereka, termasuk aspek-aspek seperti sistem pemerintahan, adat istiadat dan peranan agama dalam kehidupan bernegara.

    Dalam program berkenaan, semua pelajar dibahagikan kepada 27 kumpulan dan diperlukan untuk menyelesaikan 10 checkpoint dalam tempoh yang ditetapkan. Setiap checkpoint, pelajar perlu menyelesaikan soalan atau arahan yang dibentuk dalam bahasa Arab dan Melayu.

    Antara tema yang terdapat dalam checkpoint berkenaan termasuk konsep MIB, pembentukan jati diri, penglibatan dalam masyarakat, cintakan raja, cintakan negara dan semangat patriotik, mentaati peraturan dan undang-undang, memelihara khazanah dan warisan negara.

    Hajah Mariana ketika melancarkan program tersebut – GAMBAR SERAHAN KUPU SB
    Program Eksplorasi Melayu Islam Beraja (MIB) yang diadakan bagi pelajar-pelajar SUAMRIPAHS, Kampung Katok. – GAMBAR SERAHAN KUPU SB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda