Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Seramai 270 peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai kerajaan, guru-guru dan pelajar-pelajar Sekolah Alif Rimba, belia masjid, alumni Akademi Dakwah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penduduk Kampung Rimba serta orang ramai telah menyertai Program Pejuang Fajr Kali ke-17 yang berlangsung awal pagi tadi di Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba.
Program anjuran Badan Sukarelawan Belia Daie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) itu bertujuan menyemai semangat kebersamaan, memupuk kefahaman beragama dalam kalangan masyarakat serta mengimarahkan masjid dengan tema Quran Connect: Online Dengan Allah Setiap Hari.
Hadir sama ialah Penghulu Mukim Gadong ‘A’ merangkap Pemangku Ketua Kampung Kawasan 1, Rancangan Perumahan Negara Kampung Rimba, Haji Adnan bin Haji Bagol.
Acara dimulakan dengan sesi Qiyamullail yang diketuai oleh Belia Daie, diikuti dengan solat Subuh berjemaah dan bacaan zikir pagi dipimpin oleh Awang Mohammad Shahmie bin Mohammad Sani, Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei merangkap tenaga pengajar Sekolah Alif Rimba.
Program turut menampilkan tazkirah Subuh bertajuk Quran Connect: Online Dengan Allah Setiap Hari yang disampaikan oleh Awang Mohammad Nasyith bin Superi, Pegawai Ugama PDI. Antara intipati ceramah yang dikongsikan ialah penekanan kepada pembudayaan amalan harian membaca Al-Quran yang diibaratkan seperit berkomunikasi dengan Allah SWT kerana ayat-ayat suci Al-Quran merupakan kalamullah. Tazkirah juga menekankan kepentingan memahami dan mentadabbur Al-Quran agar dapat dihayati dengan lebih mendalam dan seterusnya boleh diamalkan dalam kehidupan seharian.
Selain itu, turut diadakan siri aktiviti berkonsepkan Menghayati Al-Quran dalam Kehidupan, khusus untuk pelajar-pelajar Sekolah Alif Rimba yang melibatkan tiga aktiviti utama iaitu This or That yang menguji kefahaman adab dan pilihan berlandaskan ajaran Al-Quran; Quran Says yang menggabungkan permainan dengan penerapan nilai akhlak seperti syukur, kasih sayang dan hormat; dan Mystery Box menekankan semangat berpasukan melalui hafazan serta permainan pencarian kata berasaskan ayat Al-Quran.
Fasilitator program terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pejuang Fajr bersama Sekolah Alif Rimba. Rakaman penuh program boleh disaksikan melalui Instagram rasmi Belia Daie.
Semua di atas: Antara suasana semasa program berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PDI

