Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan sebanyak 271 kes baharu jangkitan COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 12,384 orang.
Sementara itu, terdapat 104 tambahan kes baharu kepada 17 kluster aktif yang sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar mengongsikan statistik terkini berkenaan dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Yang Berhormat Menteri Kesihatan kemudiannya mengongsikan bahawa terdapat 11 kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 74 kes.
“Kesemua kluster baharu ini merupakan kluster kediaman di mana tiga daripadanya iaitu Kluster Sahid Sdn Bhd, Kluster Negalang Unat Site dan Kluster Mashor GC Staff House adalah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” jelas beliau.

Manakala itu, enam kluster pula telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan dalam kluster berkenaaan selama 28 hari iaitu Kluster PAS (Aker), Kluster The Mall, Kluster Frescho Batu Satu, Kluster Permata Leo Vessel, Kluster 3859 dan Kluster 5532, menjadikan jumlah kluster yang aktif kepada 171 kluster.
Dalam pada itu, terdapat 93 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.
Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa sebanyak 219 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes sembuh di negara ini kepada 9,827 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 2,475 kes.
Dalam kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan, enam kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif, di mana kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) dengan tiga daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO).
“Sementara itu, 15 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi,” tambahnya.
Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,398 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 476,929 ujian.
Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato mengajak orang ramai untuk sama-sama memohon ke hadrat Allah SWT agar seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sentiasa dilindungi, dirahmati dan terselamat daripada wabak COVID-19.
“Khususnya bagi petugas-petugas barisan hadapan (frontliners), sukarelawan, NGO dan pihak kerajaan yang sedia berkorban masa dan kudrat demi melindungi kesejahteraan kitani semasa negara dilanda wabak COVID-19 ini.
“Semoga Allah SWT mengurniakan sebaik-baik balasan jua atas jasa bakti mereka dan mudah-mudahan mereka sentiasa terhindar dan terselamat dari segala kemudaratan COVID-19,” tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.