MEXICO CITY, 6 MAC – Pihak berkuasa Mexico kelmarin merampas 32 kilogram fentanyl yang disorok dalam kotak berisi kaktus hirisan, makanan tradisional Mexico yang dikenali sebagai nopal.
Pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang Mexico memaklumkan bahawa mereka telah merampas kira-kira 275,000 pil dadah berbahaya itu di negeri sempadan Sonora, dalam perjalanan ke Arizona, serta menahan seorang lelaki berusia 29 tahun. Dadah tersebut dianggarkan bernilai sekitar AS$6.5 juta. Pihak berkuasa menemui fentanyl dalam bentuk pil dan serbuk.
Taktik penyeludupan itu merupakan sebahagian daripada permainan kucing dan tikus antara penyeludup dadah dan pihak berkuasa, apabila sindiket jenayah semakin kreatif dalam menyembunyikan bekalan haram mereka. Sebelum ini, bungkusan kokain dan fentanyl pernah ditemui disorok dalam sambungan rambut, di dalam avokado, malah dihantar menggunakan kapal selam.
Rampasan itu juga berlaku ketika hubungan antara Mexico dan Amerika Syarikat tegang, dengan Mexico berusaha memenuhi tuntutan Presiden Donald Trump untuk menghentikan aliran fentanyl dan migran ke utara.
Trump menggunakan isu tersebut sebagai alasan untuk mengenakan tarif 25 peratus pada Selasa, meskipun kadar migrasi ke utara dan kes pengambilan dos fentanyl berlebihan telah menurun sebelum beliau memegang jawatan.
Kelmarin, Trump mengumumkan bahawa selepas berunding dengan pihak berkuasa Mexico dan Kanada, beliau akan memberikan pengecualian tarif selama sebulan kepada syarikat pengeluar automotif, bagi mengurangkan kesan ekonomi akibat dasar tersebut.
Rampasan fentanyl itu dilakukan di sebuah pusat pemeriksaan tentera di lebuh raya yang menghubungkan negeri utara Sinaloa dan Sonora, apabila pegawai menggeledah sebuah treler yang membawa kotak berisi nopal. – AP
