Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Seramai 276 orang bakal graduan Universiti Teknologi Brunei (UTB) petang tadi telahpun diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran bersempena Majlis Konvokesyen UTB 2017 yang berlangsung di Masjid Univer-siti Brunei Darussalam (UBD).
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menge-tuai bacaan Surah Al-Fatihah ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Naib Canselor UTB, Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman serta pegawai-pegawai UTB dan para ibu bapa graduan.
Majlis kemudian diikuti dengan bacaan surah-surah kha-tam yang diketuai oleh bakal graduan daripada Program Diploma Tertinggi Kebangsaan dalam Kejuruteraan Awam, Awang Mohammad Fauzi bin Lasa dan kemudian diteruskan lagi dengan bacaan Takhtim.
Doa Khatam bagi majlis itu dibacakan oleh bakal graduan daripada Program Sarjana Muda Perdagangan (Kepujian) dalam Kewangan dan E-Perdagangan, Awangku Mohammad Wafiuddin bin Pengiran Samsuddin.
Majis petang tadi kemudian menyaksikan tetamu kehormat majlis menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta khatam lelaki dan penyampaian sijil-sijil khatam kepada para peserta perempuan pula telah disempurnakan oleh Naib Canselor UTB.
Doa selamat dibacakan oleh Bilal Masjid UBD, Haji Sidek bin Haji Abdul Karim.


