BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Seramai 28 belia telah menghadiri taklimat mengenai Perkhemahan Asas Pemimpin (LFC) 4.0 yang berlangsung di Mahad Islam Brunei, Tutong, petang tadi.
Perkhemahan yang akan berlangsung selama tiga hari dua malam itu dijadualkan bermula dari 7 hingga 9 September ini dan disertai oleh belia dari keempat-empat daerah yang berumur antara 16 hingga 25 tahun.
Program tersebut telah mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai untuk membantu belia menghadapi cabaran masa kini menerusi sesi perkongsian pengalaman bersama fasilitator Generasi Bekarih.
Selain itu, ia juga bertujuan untuk membina nilai moral generasi muda yang memfokuskan kepada kualiti kepimpinan, selain mengajar belia asas-asas sebagai seorang pemimpin dan membantu mengubah cara pemikiran mereka serta belajar cara-cara memimpin orang lain untuk menjadi seorang pemimpin yang berkualiti.

