Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    28 belia Tutong sertai Program Literasi Penerangan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Sebagai salah satu usaha untuk menyampaikan maklumat rasmi dan hasrat kerajaan kepada golongan belia, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, melalui Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Bahagian Cawangan Daerah mengadakan Program Literasi Penerangan bagi Belia Daerah Tutong, bermula hari ini, 19 hingga 20 Ogos.

    Program selama dua hari berkenaan telah disertai oleh seramai 28 orang peserta yang terdiri daripada belia mukim dan kampung dari Daerah Tutong.

    Sehubungan dengan itu, Majlis Pembukaan Program Literasi Penerangan bagi Belia Daerah Tutong berlangsung di Dewan Citra, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hari ini.

    Hadir pada majlis pembukaan berkenaan ialah Pemangku Ketua Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Awang Mohamad Azmi bin Awang Damit.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Ketua Cawangan Penerangan Daerah Tutong, Hajah Liyana binti Haji Suhaimi menyatakan Program Literasi Penerangan merupakan salah satu inisiatif Jabatan Penerangan menggunakan pendekatan seluruh negara (Whole of Nation) dan seluruh kerajaan (Whole of Government) yang dihasratkan untuk melahirkan belia yang bukan sahaja berilmu dan berakhlak tetapi juga siaga menghadapi masa depan serta menyumbang kepada pencapaian Wawasan Brunei 2035.

    Mengulas mengenai Perintah Perlindungan Data Peribadi 2025 yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026, beliau berkata ia membuktikan keprihatinan kerajaan dalam melindungi rakyat daripada risiko penyalahgunaan maklumat dan ancaman siber. Ia juga selaras dengan objektif program untuk mendidik belia tentang keselamatan digital dan etika penggunaan teknologi moden.

    Program berkenaan juga akan menyentuh beberapa elemen penting iaitu: Pembangunan Belia melalui taklimat mengenai Dasar Belia Negara & Strategi 2020-2035 dan peranan belia dalam pembangunan negara, termasuk penglibatan dalam kesukarelawan; Nilai Inklusiviti iaitu melalui lawatan ke Pusat Bahagia Pulaie bagi memahami erti keterangkuman dan empati dalam masyarakat, Keselamatan Siber & Data melalui pendedahan tentang ancaman berita palsu, jenayah siber, penipuan dalam talian, penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara beretika dan kepentingan perlindungan data peribadi; serta Isu Semasa Belia iaitu melalui perkongsian mengenai pengangguran belia, peluang pekerjaan melalui Pusat Pekerjaan Brunei dan pengukuhan akidah oleh Pusat Dakwah Islamiah.

    Jabatan Penerangan dalam memantapkan lagi visi, Membudayakan Masyarakat Bermaklumat, akan sentiasa mempelbagaikan platform pembarigaan maklumat mengenai dasar dan aktiviti kerajaan di samping memberi peluang untuk Jabatan Penerangan untuk lebih memahami lagi kehendak semasa dalam kalangan belia.

    Hajah Liyana menyampaikan ucapan alu-aluan.
    Antara belia yang menyertai program berkenaan.
    Gambar ramai semasa majlis berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR OLEH JAMES KON

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda