28 gajah jalani ujian koronavirus

COIMBATOR, INDIA, 9 JUN – Sebanyak 28 gajah telah menjalani ujian bagi COVID-19 di sebuah hutan simpan di selatan India, kata para pegawai hari ini, selepas singa Asia dilaporkan mati akibat virus itu.

Dalam apa yang dipercayai menjadi kematian pertama ke atas haiwan di India akibat koronavirus, singa betina berusia sembilan tahun di sebuah zoo Di Chennai di negeri Tamil Nadu telah mati pada awal Jun, lapor media tempatan.

Haiwan itu antara sembilan singa yang diuji positif virus itu termasuk dua daripadanya dalam keadaan kritikal, lapor akhbar The New Indian Express, Chennai minggu lalu.

“Selepas singa-singa di Zoo Vandalur diuji positif, kami diminta untuk menjalankan ujian ke atas gajah sebagai langkah berjaga-jaga,” kata renjer hutan di Mudumalai Tiger Reserve di selatan Tamil Nadu memberitahu AFP hari ini.

Sampel dari rongga hidung dan dubur telah diambil daripada 28 gajah termasuk dua anaknya, kelmarin dan dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar India di Uttar Pradesh. Keputusannya dijangka tiba dalam masa seminggu.

“Haiwan itu tidak menunjukkan simptom namun ia sebagai langkah berjaga-jaga,” kata renjer. – AFP

Gambar fail bertarikh 8 Jun menunjukkan veterinar dan petugas perhutanan mengambil sampel daripada gajah untuk diuji di Kem Gajah Theppakadu, Tamil Nadu, India. – AFP