Friday, October 11, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    28 maut dalam serangan udara Israel ke sekolah Gaza

    BAITULMAQDIS, 10 OKT – Pasukan Bulan Sabit Merah Palestin menyatakan bahawa serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah di Gaza membunuh kira-kira 28 orang hari ini, manakala tentera Israel melaporkan mereka hanya menyerang pusat kawalan Hamas.

    “Pasukan Bulan Sabit Merah Palestin bertindak balas terhadap 28 kematian dan 54 kecederaan berikutan serangan tentera pendudukan Israel ke atas Sekolah Rafida,” kata organisasi itu, merujuk kepada sebuah sekolah di Deir el-Balah.

    Kementerian kesihatan yang dikendalikan oleh Hamas di Gaza mengeluarkan angka kematian yang sama dalam satu kenyataan.

    Tentera Israel menyatakan dalam satu kenyataan bahawa serangan itu menyasarkan pejuang Palestin yang beroperasi dari pusat perintah dan kawalan di dalam kawasan yang sebelum ini berfungsi sebagai Sekolah (Rafida).

    Mereka tidak memberikan angka kematian tetapi menyatakan bahawa pusat arahan dan kawalan itu digunakan “untuk merancang dan melaksanakan serangan pengganas terhadap tentera IDF dan Negara Israel”.

    Khemah-khemah dipenuhi berdekatan antara satu sama lain ketika penduduk Palestin yang terpaksa berpindah berkhemah di sepanjang pantai Deir al-Balah, tengah Semenanjung Gaza pada 9 Oktober. – AP

    Serangan hari ini adalah yang terbaharu dalam siri serangan Israel ke atas bangunan sekolah yang menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Gaza, di mana pertempuran telah berlarutan selama lebih setahun.

    Pada 26 September, kira-kira 15 orang terbunuh dalam satu lagi serangan di sekolah yang berfungsi sebagai tempat perlindungan di kem Jabalia utara Gaza, menurut agensi pertahanan awam Gaza.

    Tentera Israel kini terlibat dalam operasi sengit di Jabaliya.

    Tentera Israel menuduh Hamas bersembunyi di bangunan sekolah di mana ribuan penduduk Gaza telah mencari perlindungan namun tuduhan itu dinafikan oleh kumpulan pejuang Palestin. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda