KARACHI, 6 OGOS – Sekurang-kurangnya 28 orang maut, manakala ramai lagi cedera apabila sebuah kereta api tergelincir di selatan Pakistan hari ini, menurut menteri, mengatakan ia satu kemalangan besar dan pasukan penyelamat sudah pun tiba di lokasi kejadian.
“Lebih banyak pasukan penyelamat dikerah ke lokasi itu,” kata Menteri Hal Ehwal Kereta Api, Khawaja Saad Rafique kepada pemberita.
Media tempatan melaporkan, tragedi itu berlaku berhampiran stesen kereta api Sahara di bandar Nawabshah di wilayah selatan Sindh.
“Kereta api tersebut, Hazara Express sedang dalam perjalanan dari Karachi ke Abbottabad dan lapan koc sudah tergelincir,” kata seorang pegawai kereta api, Mohsin Syal kepada HUM News.
Selain itu, seorang pegawai kereta api wilayah, Ijaz Shah menjelaskan kepada AFP, terdapat beberapa penumpang terbunuh dan kereta api bantuan sudah dihantar ke tapak itu.
Imej yang disiarkan ke media tempatan menunjukkan berpuluh-puluh orang berada di lokasi kemalangan, dengan beberapa tingkap dipecahkan untuk membantu penumpang keluar dari gerabak yang berpusing dan sekurang-kurangnya satu koc terbalik.
Kemalangan dan tragedi kereta api tergelincir sering berlaku pada sistem kereta api usang Pakistan.
Pada Jun 2021, dua kereta api bertembung berhampiran Daharki di Sindh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 65 orang dan mencederakan kira-kira 150 yang lain.
Dalam kemalangan itu, sebuah ekspres tergelincir ke landasan bertentangan sebelum sebuah lagi kereta api penumpang merempuh tapak kemalangan awal kira-kira seminit kemudian. – AFP