Saturday, October 26, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    28 murid terima sijil SSSRU

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Seramai 28 orang murid Sekolah Ugama Antarabangsa Brunei menerima sijil di Majlis Penyampaian Sijil Peperiksaan Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Darjah 6 Tahun 2023 yang diadakan di Teater Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Shamshol bin Haji Omar dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada murid-murid yang diraikan.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al Fatihah oleh Awang Ahmad Padilah bin Haji Rabaha dan diikuti dengan ucapan alu-aluan Guru Besar Sekolah Ugama Antarabangsa Brunei, Hajah Intan Khairani binti PSKDPSS Dr Ustaz Haji Awang Yahya.

    Dalam ucapan alu-aluannya antara lain menggariskan, penyampaian sijil ini bukan sekadar simbol kejayaan akademik, tetapi tanda usaha gigih dan ketabahan pelajar tunjukkan sepanjang tahun dan setiap sijil yang diterima hari ini mencerminkan usaha keras, komitmen dan kesungguhan pelajar dalam mencapai kecemerlangan.

    Beliau turut menegaskan, kejayaan yang diraih ini bukan destinasi akhir, tetapi satu permulaan di mana perjalanan hidup pelajar masih panjang dan berharap pelajar terus bersemangat dalam menimba ilmu dan pengalaman.

    Para pelajar yang diraikan bergambar ramai dengan tetamu kehormat majlis. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    “Di samping itu, gunakan ilmu yang diperoleh untuk membina masa depan yang lebih cerah dan berguna kepada agama, bangsa dan juga negara,” jelasnya.

    Selain itu, beliau turut mengingatkan kepada pelajar dalam apa juga liku kehidupan, pasti akan mengalami pelbagai dugaan, berjaya atau gagal semua terletak kepada diri sendiri.

    “Walaupun mengalami kegagalan, tegasnya, tidak bererti ia satu titik pengakhiran untuk berputus asa dan tidak peluang, malah ia satu permulaan untuk memperbaiki apa yang kurang,” tambahnya.

    Katanya lagi, “Kejayaan anak-anak hari ini tidak akan tercapai tanpa sokongan, doa dan pengorbanan daripada ibu bapa semua, kerana ibu bapa adalah tulang belakang kepada kejayaan mereka dan sokongan berterusan akan menjadi pendorong kepada kecemerlangan pada masa hadapan.”

    Antara lain tujuan majlis ini adalah untuk meraikan dan menghargai kejayaan murid-murid dalam peperiksaan SSSRU yang lalu di samping sebagai dorongan dan motivasi kepada murid-murid mencapai kejayaan lagi di masa akan datang.

    Majlis diserikan dengan persembahan bacaan surah-surah lazim daripada murid-murid Darjah 6 sekolah berkenaan dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Awang Mohd Nuzul Haqimie bin Junaidi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda