Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Seramai 28 pemenang Kempen Cabutan Bertuah Aifa sempena Hari Raya Aidilfitri 2019 telah diumumkan sebagai peserta untuk hadiah cabutan bertuah utama pada majlis yang diadakan di Restoran Stadium di Berakas, semalam.
Tetamu kehormat, Dato Paduka Haji Omar bin Haji Abdul Rahman memilih sebanyak 28 nama peserta yang akan berpeluang memenangi hadiah bernilai $18,000 pada majlis anjuran Aifa Sdn Bhd itu.
Promosi yang berlangsung sejak April hingga Julai berkenaan telah menerima sejumlah 28,000 kupon cabutan bertuah daripada semua pelanggan yang telah membeli barangan Aifa dari cawangan mereka yang sah di seluruh negara.
Pengarah Urusan Aifa Sdn Bhd, Dr Andy Lau Sie Chong dalam ucapannya menjelaskan bahawa promosi itu merupakan cabutan bertuah sempena sambutan ke-15 tahun mereka dalam menghargai sokongan berterusan dan tindak balas positif ke atas pasaran yang memberangsangkan.
“Aifa Sdn Bhd sudah berada di pasaran selama 35 tahun dan kami bukan hanya mahukan keuntungan semata-mata tetapi kami juga memberikan produk yang dapat memenuhi keperluan pasaran dan memahami pentingnya perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan.
“Kami berusaha untuk melakukan yang terbaik dan mengucapkan terima kasih kepada semua orang atas sokongan berterusan mereka,” katanya.
Pada majlis itu, pengarah urusan Aifa Sdn Bhd juga melancarkan beberapa produk terbaharu dengan promosi istimewa bermula semalam.
Pengurus Besar Aifa Sdn Bhd, Lily Ngo; Presiden Persatuan Elektrik Brunei, Sng Teck Ann; dan rakan kongsi Aifa juga turut hadir bagi memeriahkan lagi acara berkenaan.
