Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 11 Jun – Seramai 28 orang pelajar Skim Tilawah Al-Quran Remaja telah diraikan dalam Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan di Bilik Sembahyang, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Norain, Daerah Tutong, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Awang Hassan bin Amat.
Majlis Khatam Al-Quran yang diadakan ini merupakan projek serta rancangan tahunan Unit Tilawah Al-Quran dan Dikir Bahagian Pelajaran Lanjutan, Jabatan Pengajian Islam yang bertujuan bagi menyemarakkan dan memeriahkan lagi suasana bulan Ramadan.
Majlis seumpamanya ini juga bertujuan bagi menggalakkan para pelajar untuk terus sentiasa membaca Al-Quran dengan baik dan lancar, sekali gus dapat mengkhatamkan bacaan Al-Quran 30 juzuk setiap menjelangnya bulan Ramadan. Majlis ini turut dikendalikan oleh penyelaras Kelas Skim Tilawah Al-Quran Remaja di Daerah Tutong.