Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    28 penerima anugerah terpilih PB dirai

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Seramai 28 penerima anugerah terpilih dari Kelas Tahun 2025 diraikan pada Majlis Anugerah Cemerlang 2025 yang diadakan di Goldstone Ballroom, Hotel Centrepoint, Gadong, kelmarin, bersempena dengan Majlis Konvokesyen Politeknik Brunei (PB) ke-11.

    Para penerima anugerah terdiri daripada graduan dan pelajar dari pelbagai program di bawah lima buah sekolah-sekolah PB iaitu Sekolah Perdagangan, Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Sekolah Sains dan Kejuruteraan, Sekolah Sains Kesihatan dan Sekolah Petrokimia.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal) selaku Pengerusi Lembaga Pengelola PB, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.

    Turut hadir, Pemangku Penolong Pengarah (Korporat, Perancangan dan Pembangunan) PB, Dayang Hajah Dinah Haziqah binti Haji Johan; Pemangku Penolong Pengarah (Akademik) PB, Dayang Rahimah binti Mohiddin; Pemangku Pengetua PB, Dayang Armah binti Tengah, bersama ketua-ketua bahagian dan sekolah PB, pegawai-pegawai dan para ibu-bapa, penjaga dan ahli keluarga para penerima anugerah.

    Hadir sama, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo, ahli-ahli dari Lembaga Pengelola PB, Kementerian Pendidikan, Kedutaan Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Huawei Technologies (B) Sdn Bhd, para juri untuk Anugerah Inovasi, dan penaja Majlis Anugerah Pelajar.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Rashidah Sa’adatul Bolkiah Kampung Sungai Akar, Awang Muhammad Tsuufiy bin Haji Abdul Wahab. Majlis kemudian diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah PB, Pengiran Dr Saiful Baharin bin Pengiran Haji Duraman.

    Acara kemudiannya diteruskan dengan penyampaian anugerah yang disempurnakan oleh Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina kepada 28 penerima dalam lima kategori iaitu Anugerah Pelajar Terbaik, Anugerah Akademik Cemerlang, Anugerah Cemerlang Aktiviti Pengayaan, Anugerah Inovasi dan Anugerah Duta Republik Rakyat China yang ditaja oleh Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam.

    Anugerah Pelajar Terbaik diberikan kepada Dayang Nurhazimah binti Taha, graduan yang baharu saja menerima kelayakan Diploma Tahap 5 dalam Analitik Data, Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, PB. Dayang Nurhazimah juga merupakan salah seorang daripada 24 penerima anugerah di bawah kategori Anugerah Akademik Cemerlang.

    Manakala Anugerah Duta Republik Rakyat Cina turut diberikan kepada 21 penerima dari 21 buah program di bawah PB.

    Turut disampaikan pada majlis tersebut adalah sijil-sijil penghargaan kepada Kedutaan Republik Rakyat China di negara ini dan para penaja yang telah memberikan sokongan pada majlis berkenaan, yang disempurnakan oleh Pengiran Dr Saiful Baharin.

    Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina bergambar ramai bersama para penerima anugerah pada majlis itu. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN PB
    Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik kepada Dayang Nurhazimah pada majlis itu.
    Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina bergambar ramai dengan para penerima Anugerah Inovasi pada majlis berkenaan.

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda