Thursday, July 4, 2024
30 C
Brunei

    -

    28 premis didapati belum buat Sijil Halal

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Sebanyak 28 buah premis penyediaan makanan didapati belum membuat permohonan Sijil Halal semasa operasi rondaan yang dijalankan ke atas 59 buah premis penyediaan makanan di kawasan Sengkurong oleh Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal pada 22 Jun lalu.

    Premis berkenaan telah dikeluarkan notis arahan untuk menghadapkan permohonan Sijil Halal dalam tempoh enam bulan.

    Operasi rondaan bertujuan bagi memastikan restoran-restoran dan kilang-kilang makanan di kawasan tersebut sudah memohon pensijilan Halal seperti yang dikehendaki oleh Perintah Sijil Halal dan Label Halal, 2005, yang dikenakan ke atas pengusaha-pengusaha makanan di negara ini yang telah berkuat kuasa setelah undang-undang tersebut dipinda pada tahun 2017.

    Jabatan Hal Ehwal Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) ingin mengingatkan bahawa permohonan untuk mendapatkan Sijil Halal atau Permit Halal bagi perniagaan makanan yang beroperasi di negara ini adalah mandatori.

    Ia seterusnya menyeru kepada semua pengusaha makanan di negara ini yang belum lagi mempunyai Sijil Halal atau Permit Halal supaya menghadapkan permohonan dengan segera. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil di bawah Bab 4(5) dan Bab 10(6), Perintah Sijil Halal dan Label Halal (Pindaan), 2017 dengan hukuman denda sehingga $8,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    Dalam pada itu, pemeg ang-pemegang Sijil Halal dan Permit Halal juga diingatkan supaya sentiasa memastikan Sijil Halal dan Permit Halal masih sah dan hendaklah menghadapkan permohonan untuk pembaharuan sijil dalam tempoh tiga bulan sebelum tarikh mansuh.

    Pegawai penguatkuasa semasa membuat rondaan baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ anjur pertandingan hapus kucing liar

    WELLINGTON, 3 JULAI – Pertandingan membunuh kucing liar yang diadakan secara tahunan di New Zealand dijangka diperluas tahun depan, kata penganjur acara hari ini,...