Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Seramai 28 peserta telah menerima sijil tamat kursus Program Perkembangan Eksekutif (EDP) ke-20 bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan dalam Dasar Awam dan Pengurusan anjuran Kementerian Pertahanan, dalam Majlis Penutup Program EDP ke-20 yang berlangsung di Mes Pegawai, Bolkiah Garison, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para penerima ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Turut hadir ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Timbalan Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Yang Amat Mulia SAC Pengiran Anak Haji Mohammed Saifullah bin Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji ldris; pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi dan duta-duta dari negara-negara sahabat yang menyertai; setiausaha-setiausaha tetap dari kementerian-kementerian; ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif Pertahanan dan ABDB; wakil-wakil dari Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew (LKYSPP); Universiti Nasional Singapura; pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan dan jemputan-jemputan lain daripada agensi yang berkenaan.
Dalam ucapannya, Yang Berhormat Pehin Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi antara lain mengambil maklum akan penambahbaikan modul-modul dalam program dan menyampaikan penghargaan kepada LKYSPP atas kerjasama kukuh yang berterusan dengan Kementerian Pertahanan.
Yang Berhormat Pehin turut menyentuh mengenai landskap global yang semakin pesat dengan kemajuan teknologi dan ketidakpastian geopolitik serta potensi kecerdasan buatan (AI) dalam transformasi tadbir urus dan pembentukan dasar.









Beliau juga menekankan EDP ke-20 adalah merupakan satu mercu tanda usaha ke arah membentuk kepimpinan dan pengurusan dalam perkhidmatan awam dan merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035.
Sementara itu, Pengarah Institut Pengajian Pertahanan dan Strategik Sultan Haji Hassanal Bolkiah (IPPSSHHB), Dayangku Dr Noor Hasharina binti Pengiran Haji Hassan, menyampaikan gambaran keseluruhan mengenai pencapaian program tersebut serta menekankan semula komitmen institusi untuk memupuk budaya pembelajaran berterusan dan memperkasakan pembangunan profesional kalangan pegawai kanan kerajaan.
Ini disusuli dengan ucapan daripada Naib Dekan Hal Ehwal Akademik merangkap Profesor Madya di LKYSPP, Profesor Suzaina Kadir, yang menekankan kepentingan ketelitian akademik dalam menghubungkan kerangka teori dengan pelaksanaan dasar awam secara praktikal.
Mewakili kumpulan peserta, Leftenan Kolonel (U) Pengiran Mohammad Ady Hafriz bin Pengiran Mohammad Yusof turut berkongsi pengalaman dan pelajaran yang diperoleh sepanjang program selama 14 minggu tersebut.
Program EDP juga berperanan sebagai platform penting bagi diplomasi pertahanan, yang memperkukuhkan hubungan dua hala serta pembelajaran kolaboratif bersama negara-negara sahabat yang turut serta.
Bagi EDP ke-20, para peserta terdiri dari Malaysia, Kesultanan Oman, Republik Filipina, Republik Singapura, Kerajaan Thailand dan Republik Sosialis Vietnam.
Program yang bermula pada 4 Ogos itu, dikendalikan oleh IPPSSHHB dengan kerjasama pakar dan tenaga pengajar daripada LKYSPP.
Ia bertujuan untuk meningkatkan keupayaan peserta dalam bidang dasar awam, pentadbiran dan pengurusan melalui sesi kuliah serta lawatan ke agensi-agensi kerajaan terpilih di Negara Brunei Darussalam bagi mendalami pemahaman terhadap persekitaran strategik negara, termasuk lawatan pembelajaran ke Republik Singapura bagi pendedahan antarabangsa dalam tadbir urus dan pengurusan strategik.
Sejak pelancarannya pada 2004, EDP telah melahirkan seramai 505 orang graduan yang terdiri daripada pegawai kanan dari pelbagai sektor kerajaan, yang terus menyumbang kepada pentadbiran awam dan kecemerlangan kepimpinan di Negara Brunei Darussalam.
