Thursday, January 9, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    281 lokasi terjejas bencana di seluruh Malaysia

    KUALA LUMPUR, 1 DIS – Sebanyak 281 lokasi di seluruh negara terkesan pelbagai kejadian bencana susulan hujan yang melanda di seluruh Malaysia dengan paling banyak direkodkan di Terengganu iaitu 131 lokasi.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata berdasarkan laporan Bilik Gerakan Bencana (BigBen) setakat 2 petang ini, Kelantan merekodkan 102 lokasi terjejas, Kedah (39 lokasi), Negeri Sembilan (tiga lokasi), Selangor (tiga lokasi), Pahang (dua lokasi) dan Perak (satu lokasi).

    “Daripada 281 lokasi yang dilaporkan terjejas, 87 lokasi melibatkan jalan Persekutuan dan 194 jalan negeri. Kes bencana yang dilaporkan ialah 231 kejadian banjir, banjir kilat (20), cerun runtuh (14), jalan runtuh (sembilan) dan jalan mendap (tujuh).

    “Saya menyeru semua pihak untuk berhati-hati dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

    Pada hantaran lain, Nanta berkata Projek Pembinaan Jalan Raya Simpang Pulai-Gua Musang-Kuala Berang Pakej 8 dari Kampung Jeneris ke Kuala Telemong Fasa 2 dan 3 Hulu Terengganu, kritikal untuk disiapkan mengikut jadual untuk keselamatan dan keselesaan penduduk setempat dan pengguna jalan raya.

    Beliau berkata projek dengan kos lebih RM160 juta itu melibatkan pembinaan jalan baru tunggal dua lorong sepanjang 15.75 kilometer, dua jambatan baharu dan satu jambatan tambahan kecil serta sistem perparitan dan saliran kiri kanan jalan itu dijangka siap pada 23 Oktober 2026. – Bernama

    Pemandangan udara situasi terkini banjir yang melanda Kampung Matang di Terengganu ketika tinjauan FotoBernama kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda