Saturday, March 15, 2025
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    289 graduan UNISSA terima ijazah dan Diploma

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Muiz Matdani dan Infofoto

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Seramai 289 orang graduan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menerima ijazah dan diploma dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian pada Majlis Hafl Al-Takharruj ke-9 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali telah berkenan berangkat mengurniakan ijazah dan diploma berkenaan.

    Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Pro-Canselor UNISSA.

    Keberangkatan Baginda Sultan telah dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman selaku pengerusi Majlis UNISSA dan Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal.

    Sejurus keberangkatan tiba, selawat dan qasidah (dikir) ‘Ahlan Bikum Sultanana’ dinyanyikan bagi mengiringi keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Duli Yang Teramat Mulia ke Dewan Plenari kemudian diikuti dengan lagu kebangsaan Brunei Darussalam.

    Keberangkatan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berserta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah ke Majlis Hafl Al-Takharruj ke-9 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, kelmarin.
    Baginda Sultan berserta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung beramah mesra dan menerima junjung ziarah daripada para graduan.
    ATAS & BAWAH: KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan ijazah kepada para graduan.

    ATAS & BAWAH: Baginda Sultan berserta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan dijunjung beramah mesra dan menerima junjung ziarah daripada para graduan.

    ATAS & BAWAH: Antara graduan yang diraikan pada Majlis Hafl Al-Takharruj ke-9 bergambar bersama sijil masing-masing.

    Antara tetamu yang hadir pada majlis berkenaan.
    Majlis Hafl Al-Takharruj ke-9 diserikan dengan persembahan tausyeh.

    Hafl Al-Takharruj telah diimarahkan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Surah Ali Imran Ayat 102 hingga 104, oleh graduan Diploma Tertinggi Kebangsaan Sistem Keadilan Jenayah Syariah, Awang Abdul Muin bin Haji Abdul Hamid manakala itu, Al-Hadith dibacakan oleh graduan Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Kehakiman), Awang Ahmad Khairulanam @ Muhammad Hidayatil Wafi dan inti sari ayat Al-Quran berserta Al-Hadith dibacakan oleh graduan Diploma Tertinggi Kebangsaan Sistem Keadilan Jenayah Syariah, Shaikh Ahmad Wa’ez bin Haji Sheikh Aubid.

    Majlis diikuti dengan sembah alu-aluan rektor UNISSA dan pemakluman penerima-penerima pingat dan Hadiah Buku Universiti serta para penyumbang sempena Hafl Al-Takharruj ke-9.

    Seterusnya, Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah dan menyempurnakan pengurniaan ijazah dan diploma kepada para graduan.

    Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.

    Hafl Al-Takharruj tahun ini menyaksikan tiga orang graduan menerima Ijazah Doktor Falsafah, 20 graduan Ijazah Sarjana, enam graduan Diploma Perundangan Islam dan Guaman Syarie, dua graduan Diploma Lepas Ijazah, 174 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 84 graduan Ijazah Diploma Tertinggi Kebangsaan Sistem Keadilan Jenayah Syariah.

    Majlis juga telah dimeriahkan lagi dengan kehadiran perwakilan dari 24 buah institusi pengajian tinggi luar negara seperti Thailand, Filipina, Singapura, Timor Leste, Malaysia dan Indonesia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda