Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    29 atlet UBD sertai Pesta Sukan UiTM

    Oleh Izah Azahari

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Seramai 29 atlet dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan mengambil bahagian dalam Pesta Sukan Antarabangsa Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-14 di Kampus UiTM di Shah Alam, Selangor, Malaysia mulai hari ini sehingga 3 Ogos nanti.

    Sehubungan dengan itu, satu majlis penyerahan bendera UBD telah diadakan di Dewan Inspirasi, Pusat Pelajar di UBD dan hadir bagi menyempurnakan majlis penyerahan tersebut ialah Penolong Naib Canselor (Penyelidikan) Dr Abby Tan Chee Hong selaku tetamu kehormat majlis.

    Acara tersebut bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diikuti dengan ucapan daripada Pegawai Aktiviti Luar dan Pembangunan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UBD, Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Abang sebagai ketua kontinjen.

    Awang Mohammad Ali Sabri berkata kontinjen UBD akan berusaha untuk memberikan persaingan yang baik kepada pasukan lain dan memenangi mana-mana pingat dan pencapaian di pertandingan itu.

    Sementara itu, Dr Abby Tan Chee Hong turut menyatakan harapannya semasa majlis tersebut agar para atlet dapat memberikan saingan mantap serta sentiasa menjaga kelakuan dan tingkah laku masing-masing sepanjang kejohanan tersebut diadakan.

    Pesta Sukan Antarabangsa 2019 akan menyaksikan lapan sukan dipertandingkan iaitu futsal, ragbi 7, badminton, bola keranjang, tenis meja, tenpin boling, hoki (lelaki), dan tenis. Para atlet UBD akan bertanding dalam tiga acara iaitu futsal, rugby 7 dan tenpin boling.

    Antara pencapaian pasukan UBD ialah menjuarai kategori dalam sukan rugby (2018), tempat ketiga dalam bola keranjang (2015), juara futsal dalam Piala Plate (2011) dan juara dalam sukan futsal dan tempat ketiga dalam sukan badminton untuk kategori wanita perseorangan pada tahun 2008. Sebanyak 26 universiti antarabangsa akan mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

    Tetamu kehormat bersama para atlet ketika sesi bergambar ramai.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda