SANAA, 2 Nov – Serangan udara yang diketuai oleh Arab Saudi telah menyebabkan 29 nyawa terkorban apabila serangan tersebut disasarkan ke kawasan pasar yang dikuasai oleh pemberontak Syiah Huthi, menurut pihak berkuasa kesihatan Huthi.
Pakatan yang menerima kritikan antarabangsa kerana mengorbankan orang awam itu, berkata mereka sedang menyiasat laporan tanpa mengaku bertanggung jawab di atas serangan yang dilakukan ke atas Saada.
Penduduk di kawasan yang terjejas dilihat sedang membersihkan bekas-bekas pasar yang musnah sementara bara-bara api masih kelihatan.
Mayat-mayat mangsa yang rentung kebanyakannya hancur dimasukkan ke dalam beg mayat dan dibawa ke hospital untuk dikenal pasti oleh keluarga-keluarga mereka.
Khidmat kesihatan memberi kenyataan bahawa 29 orang telah terkorban dan 17 lagi cedera, manakala agensi berita Saba mengatakan bahawa terdapat 21 orang terkorban semuanya terdiri daripada orang awam.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P15-A_031117.jpg)
Saba menuduh pakatan yang diketuai Saudi telah mengadakan serangan ke atas daerah Sahar.
Pakatan tersebut telah mengadang ruangan udara kawasan yang ditawan oleh pemberontak dan satu-satunya kapal terbang tentera yang beroperasi di utara Yaman di sepanjang sempadan Saudi.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah menyenaraihitamkan pakatan tersebut pada Oktober lalu kerana telah mengakibatkan kematian kanak-kanak, menyebabkan kumpulan-kumpulan hak asasi kemanusiaan untuk memberikan tekanan ke atas Riyadh kerana konflik tersebut.
Kumpulan berkenaan menggesa kerajaan yang menyokong pakatan itu, termasuk Amerika Syarikat, Britain dan Perancis untuk memberhentikan jualan senjata kepada kerajaan semenanjung tersebut – AFP