Monday, May 12, 2025
30.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    29 murid SU Awang Semaun dirai dalam majlis khatam

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Sekolah Ugama Awang Semaun semalam, meraikan seramai 29 murid Darjah 6 yang telah berjaya menamatkan pembacaan Al-Quran pada Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Serba Guna Sekolah Menengah Awang Semaun.

    Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh isteri Timbalan Mufti Kerjaaan, Pengiran Datin Hajah Mas Relawati @Khadijah binti Pengiran Mohd Said selaku tetamu kehormat majlis. Kemudian, majlis diteruskan dengan bacaan surah-surah oleh para peserta khatam dan bacaan takhtim oleh murid-murid perempuan Darjah 3 hingga 5 serta bacaan Doa Khatam Al-Quran.

    Antara tujuan majlis itu adalah bagi memupuk semangat masyarakat dan murid-murid di negara ini agar sentiasa mencintai dan menghayati Al-Quran serta ajaran agama, melatih masyarakat dan murid-murid agar lebih berusaha bagi mempercepatkan keredaan daripada Allah SWT dan dipermudahkan dalam melakukan pekerjaan.

    Majlis seumpamanya juga dapat menanamkan sifat kerjasama antara warga sekolah, ibu bapa penjaga murid dan masyarakat umumnya di samping memberikan galakkan kepada murid-murid agar lebih berusaha bagi mendapat kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.

    Turut hadir pada majlis itu ialah pegawai-pegawai dari Jabatan Pengajian Islam, guru-guru besar, ibu bapa dan penjaga murid-murid yang diraikan.

    Tetamu kehormat majlis dan warga Sekolah Ugama Awang Semaun bergambar ramai bersama 29 murid Darjah 6 yang diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda