Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 SEPT – Sebanyak 29 pain darah telah berjaya dikumpulkan semasa kempen derma darah anjuran BAIC Brunei, jenama di bawah naungan TCY Motors, dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), hari ini.
Kempen yang diadakan di Bilik Pameran BAIC Brunei, Lambak itu merupakan julung kalinya dianjurkan oleh BAIC Brunei dalam usaha untuk membantu menambah bekalan darah, seterusnya menyelamatkan nyawa para pesakit yang memerlukan.
Ia juga merupakan antara usaha syarikat itu dalam menyahut seruan Kementerian Kesihatan untuk mengajak lebih ramai penderma tampil menyumbangkan darah sekali gus diharap dapat memberikan impak signifikan dan berpanjangan bagi industri automobil.
Pengurus Jualan TCY BAIC Brunei, Amin Eugene Tan berkata, “Pendermaan darah adalah amalan kemanusiaan mulia yang dapat menyelamatkan jiwa dan mencipta perbezaan yang ketara dalam masyarakat kita.”
Beliau yang turut hadir bagi mendermakan darah seterusnya mengongsikan bahawa
BAIC Brunei percaya dengan kuasa tindakan kolektif, dan kerjasama antara syarikat berkenaan dengan Pusat Pendermaan Darah Hospital RIPAS dapat mendorong kakitangan, pelanggan syarikat serta masyarakat tempatan untuk turut menyertai kegiatan yang penuh berkebajikan itu.