Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JUN – Seramai 29 orang pelajar telah menyertai Program Jati Diri Itqan selama empat hari yang diadakan sebagai persediaan sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan pergigian ke luar negara bagi sesi akademik 2025/2026, di bawah Skim Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Program Berkembar, Universiti Brunei Darussalam.
Program itu dilaksanakan dengan matlamat untuk memberigakan aturan dan peraturan biasiswa serta memberi kefahaman lebih mendalam mengenai dasar biasiswa dan ikat janji. Ia juga bertujuan untuk menghayati falsafah Melayu Islam Beraja di samping memupuk motivasi diri, membina sahsiah, keperibadian dan sikap bertanggungjawab dalam kalangan pelajar sepanjang pengajian mereka di luar negara.
Majlis Penyampaian Sijil Penganugerahan dan Penutupan Program Jati Diri Itqan telah berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam dan disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah Pengurusan Biasiswa, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Dayang Rosimah Sumaimah binti Haji Matassin menekankan bahawa pelaburan besar dalam pendidikan termasuk penyediaan skim biasiswa adalah antara usaha utama kerajaan dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035. Usaha ini bertujuan melahirkan generasi berilmu, berwibawa dan matang dalam jati diri.
Beliau turut menasihati para pelajar agar sentiasa menghargai peluang yang diberikan dan memanfaatkannya sepenuhnya. Sebagai penerima biasiswa, mereka memikul amanah besar untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian serta bertekad untuk kembali menyumbang kepada bangsa dan negara.
“Negara Brunei Darussalam masih sangat memerlukan tenaga profesional tempatan dalam bidang perubatan dan pergigian,” tegas beliau sambil menyeru pelajar untuk membina jati diri berlandaskan nilai Melayu Islam Beraja, celik minda dan berdaya tahan menghadapi cabaran.
“Sesuai dengan makna Itqan, lakukanlah sesuatu dengan penuh kesungguhan, ketelitian dan integriti tinggi,” tambah beliau. “Orang yang itqan akan bekerja dengan niat yang tulus, tekun dan mengharap keredaan Allah SWT serta doa restu ibu bapa.”
Bagi pihak Kementerian Pendidikan, beliau turut mendoakan agar semua pelajar akan terus mencipta kejayaan yang membanggakan diri, keluarga, institusi, masyarakat serta negara.
Sepanjang program, pelajar mengikuti pelbagai taklimat, aktiviti dan sesi perkongsian ilmu sebagai persediaan mental, emosi dan rohani sebelum berangkat meneruskan pengajian mereka di luar negara.