Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Seramai 29 pemain muda kategori Bawah 10 Tahun dan Bawah 12 terpilih untuk mewakili Akademi Bola Sepak Brazil (BFA) dalam kejohanan berprestij Piala Antarabangsa Garuda.
Kejohanan ini akan berlangsung di Bogor, Indonesia, dari 21 hingga 24 Ogos untuk kategori B12, manakala 23 hingga 24 Ogos untuk kategori B10.
Pencapaian yang luar biasa ini menyerlahkan kemahiran, dedikasi, dan komitmen yang tinggi ditunjukkan oleh para atlet muda dalam barisan BFA.
Pemilihan sejumlah besar pemain untuk kejohanan antarabangsa ini mencerminkan komitmen akademi dalam membangunkan dan memupuk generasi baharu bintang bola sepak.
Piala Antarabangsa Garuda terkenal sebagai platform yang memberi peluang kepada bakat muda dari seluruh dunia untuk menonjolkan kemahiran mereka, saling belajar, dan memupuk semangat kesukanan.
Penyertaan BFA juga merupakan satu pencapaian penting dalam perkembangan individu pemain-pemain muda ini.
Para pemain yang terpilih telah menjalani sesi latihan yang intensif, dengan penekanan kepada kemahiran teknikal dan strategi permainan di bawah bimbingan barisan kejurulatihan BFA yang berpengalaman.
Perjalanan mereka ke pentas antarabangsa bukan sahaja mencerminkan kehebatan individu masing-masing, tetapi juga kekuatan kolektif BFA sebagai institusi pembangunan bola sepak.
BFA merakamkan penghargaan kepada penganjur Piala Antarabangsa Garuda atas peluang yang diberikan kepada bakat muda negara, dan akademi yakin bahawa pengalaman ini akan menyumbang kepada pertumbuhan dan kematangan para pemain.
Seluruh komuniti BFA, termasuk para pemain, jurulatih, kakitangan dan penyokong, mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain-pemain muda BFA dalam kejohanan yang akan datang.


