Monday, May 12, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    29 rakyat M’sia mangsa penipuan kerja akan dibawa pulang

    PUTRAJAYA, 13 SEPT – Seramai 29 lagi rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja yang masih berada di depoh imigresen negara itu dijangka dibawa pulang secara berperingkat bermula hujung bulan ini.

    Duta Besar Malaysia ke Kemboja Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim berkata proses membawa pulang mangsa terbabit dijangka selesai selewat-lewatnya pada Oktober.

    Bercakap dalam temu bual bersama Bernama hari ini, beliau berkata walaupun mereka sebahagian daripada 53 mangsa yang diselamatkan baru-baru ini, namun mereka terpaksa ditahan terlebih dahulu berikutan tiada dokumen perjalanan yang sah. Baki 24 mangsa sudah kembali ke tanah air pada Jumaat lepas.

    “Mangsa 29 orang ini tiada pasport, kalau ada pun (pasport) sudah mati atau mereka masuk melalui jalan tikus. Jadi mereka perlu disiasat (pihak berkuasa Kemboja) dan proses ini ambil masa lama sebab mangsa bukan dari Malaysia sahaja, ada dari Thailand, Vietnam, Indonesia dan sebagainya, jadi kita kena tunggu.

    “Tetapi kami baru dapat makluman bahawa siasatan sudah hampir selesai dan kami akan cuba bawa pulang mereka secepat mungkin, namun tidak boleh bawa pulang sekali gus kerana kes mereka berasingan,” katanya. – Bernama

    Datuk Eldeen Husaini ketika ditemu bual berkaitan sindiket penipuan pekerjaan yang melibatkan rakyat Malaysia di Kemboja, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda