ISLAMABAD, 25 DIS – Polis Pakistan hari ini membebaskan 290 orang aktivis Baloch yang ditahan ketika mereka cuba mengadakan protes minggu lalu di ibu negara, Islamabad.
Pembebasan mereka dibuat beberapa hari selepas penganjur protes memberi tarikh akhir kepada pihak berkuasa untuk membebaskan semua yang ditahan.
Aktivis telah mengembara 1,600 kilometer pada Khamis lalu dari Turbat, sebuah bandar di wilayah Baluchistan, untuk membantah pembunuhan di luar undang-undang di barat daya yang dikuasai kumpulan militan.
Penunjuk perasaan kebanyakannya adalah wanita dan ada juga yang membawa bersama-sama mereka, kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun, ketika pasukan keselamatan menggunakan belantan dan semburan air untuk meleraikan dan menangkap mereka.
Mereka melakukan tunjuk perasaan tehadap kes Balaach Mola Bakhsh, 24, yang meninggal dunia pada November ketika dalam tahanan polis di Baluchistan. Pihak berkuasa berkata dia terbunuh selepas militan menyerang hendap kenderaan polis yang mengangkutnya.
Polis berkata Bakhsh membawa bahan letupan ketika dia ditangkap. Keluarganya menegaskan dia tidak bersalah, kemudian menuntut keadilan untuknya.
Mereka juga berkata dia telah ditahan sejak Oktober. Tetapi menurut polis pula, dia telah ditangkap pada November.
Penggunaan kekerasan polis terhadap penunjuk perasaan telah mencetuskan kemara-
han dalam kalangan penduduk Baluchistan dan mendapat kecaman di seluruh negara daripada aktivis hak asasi manusia terkemuka.
Penganjur protes berkata, ketika berpuluh-puluh kenderaan yang membawa aktivis itu sampai ke pinggir Islamabad sebelum subuh Khamis lalu, polis telah menggunakan semburan air dan mula membelasah mereka untuk menghalang daripada sampai ke tengah-tengah ibu negara. – AP


