Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    291 belia bertemu keluarga angkat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Nov – Para peserta Rancangan Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) ke-45 dari negara-negara Asia Tenggara dan Jepun berpeluang untuk mengenali lebih dekat keunikan kehidupan, budaya, adat resam dan makanan masyarakat Brunei apabila tinggal bersama keluarga angkat dalam Program Inap Desa dan Keluarga Angkat, sebagai sebahagian daripada program semasa persinggahan mereka di Negara Brunei Darussalam.

    Seramai 291 orang peserta kapal belia dari negara-negara Asia Tenggara bertemu keluarga-keluarga angkat mereka dalam majlis yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Hadir semasa pertemuan itu ialah Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Haji Zafri bin Haji Mohamed.

    Pada majlis itu, para peserta program kapal belia berpeluang untuk bertemu dengan keluarga angkat masing-masing dan menyertai kegiatan bersama keluarga sebelum mereka dibawa pulang untuk menetap bersama keluarga angkat mereka.

    Program keluarga angkat itu memberikan peluang kepada para belia program kapal belia daripada budaya dan negara yang berbeza untuk menyaksikan sendiri dengan lebih dekat kehidupan seharian masyarakat Brunei. Pada masa yang sama, mereka juga menyertai pelbagai kegiatan yang diaturkan oleh keluarga angkat masing-masing untuk memberikan mereka pengalaman kehidupan masyarakat Brunei yang unik dan menjadikan pengalaman mereka di negara ini sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

    Bagi program keluarga angkat berkenaan, sebanyak 145 buah keluarga angkat menyertai program berkenaan bagi persinggahan SSEAYP ke-45 di Negara Brunei Darussalam.

    Para peserta belia SSEAYP ke-45 bertemu dengan keluarga-keluarga angkat mereka dalam majlis yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, kelmarin.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda