BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Biro Kawalan Narkotik (BKN) telah merampas 3.48 kilogram syabu melalui Operasi Black Bull yang dijalankan pada Januari dan Februari tahun ini.
Menurut kenyataan BKN, semasa operasi tersebut, seramai 12 individu telah ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah bagi pasaran Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Belait.
Dengan berat dadah yang dirampas, kes tersebut boleh membawa hukuman gantung sampai mati.
Pada pertengahan Januari lalu, empat orang telah ditahan di Pos Kawalan Sungai Tujoh kerana didapati membawa masuk dadah syabu seberat 391.23 gram.
Suspek utama kumpulan ini pernah ditangkap melalui Operasi Bulls Eye pada 2021 dan kini meningkat naik setelah kejatuhan satu sindiket yang ditumpaskan melalui Operasi Tupai.
Kemudian pada hujung Januari lalu, Operasi Black Bull diteruskan lagi dengan menahan dua individu di Kampung Sungai Kebun dan Kampung Mengkubau.
Operasi susulan itu telah merampas tiga bungkusan yang secara keseluruhan mengandungi 3,087.68 gram syabu dipercayai milik sekumpulan pengedar dadah.
Manakala, operasi susulan pada awal Februari telah menahan enam lagi individu berkaitan dengan rangkaian ini yang menjalankan pengedaran dadah di Kampung Pekan Lama, Daerah Brunei dan Muara.
Jumlah dadah yang dirampas adalah tidak signifikan kerana mereka yang ditahan dinilai dalam keadaan bersiap sedia untuk ditangkap dengan tidak menyimpan dadah bersama mereka.
Secara keseluruhan, Operasi Black Bull telah merampas 3.48 kilogram syabu yang dianggarkan bernilai lebih daripada $450,000 di pasaran tempatan dan boleh menampung sekitar 34,000 pengguna dadah.
Turut dirampas dalam tiga operasi berkenaan ialah wang tunai dipercayai hasil daripada kegiatan pengedaran dadah, kenderaan dan alat-alat yang berkaitan dalam kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Modus operandi rangkaian kumpulan pengedaran ini adalah dengan menggunakan kenderaan motosikal yang berdaftar di negara asing untuk menyeludup dadah masuk ke negara ini bagi mengelirukan pemantauan pihak berkuasa seterusnya memudahkan kaedah penghantaran dadah ke beberapa tempat di negara ini.