Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    3.92 tan gading gajah dilupuskan

    SEREMBAN, 30 April – Sebanyak 3.92 tan gading gajah bernilai RM13.26 juta dilupuskan hari ini, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar.

    Beliau berkata kesemua 3.92 tan itu adalah hasil daripada 15 rampasan dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi lain sejak 2011 hingga 2017 di lapangan terbang dan pelabuhan di negara ini.

    “Barang kes kemudian diserahkan kepada Jabatan Perhilitan. Daripada jumlah tersebut, berat bagi gading lengkap dan separa gading ialah 3,692.4 kilogram manakala jumlah produk gading separa siap ialah 228.89 kilogram,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelupusan barang kes gading gajah di Pusat Kualiti Alam, di sini.

    Mengulas lanjut, Dr Xavier berkata beliau percaya Malaysia digunakan sebagai negara transit kepada aktiviti penyeludupan gading gajah daripada Afrika, yang dipercayai untuk pasaran China, Hong Kong dan Vietnam.

    Pun begitu katanya, adalah sukar untuk mengesan pihak yang bertangungjawab terhadap aktiviti berkenaan.

    Anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menunjukkan gading gajah yang dirampas pada Majlis Pelupusan Barang Kes Gading Gajah di Pusat Kualiti Alam. – Bernama

    Katanya satu ‘Task Force’ diwujudkan melibatkan Jabatan Perhilitian, JKDM dan kementerian bagi mengekang aktiviti berkenaan.

    Selain itu, katanya anjing pengesan akan turut digunakan di kargo lapangan terbang dan pelabuhan.

    Dalam pada itu, beliau berkata selain gading gajah, tanduk badak sumbu yang telah dirampas, turut dalam proses mengenal pasti identiti negara, sebelum dilupuskan.

    Sementara itu, Dr Xavier berkata kerajan komited melaksanakan tanggungjawab antarabangsa di bawah Konvensyen Pemerdagangan Spesies Fauna dan Floria Liar  yang Terancam (CITES) untuk mengatasi isu pemerdagangan gading gajah secara haram.

    Malaysia merupakan ahli CITES sejak 1978.

    “Saya juga menyeru bantuan dan kerjasama orang awam dan NGO (badan bukan kerajaan) untuk memainkan peranan aktif, dalam bidang kesedaran awam dan penguatkuasaan bagi membantu kerajaan menangani isu pemerdagangan gading ini,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda