Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Nov – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) dengan kerjasama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Syarikat LSL Sdn Bhd, hari ini, mengadakan kempen membaiki dua buah rumah usang di Kampung Menunggol.
Rumah-rumah berkenaan dimiliki oleh warga emas, Haji Jaidin bin Haji Bugal dan Haji Mohd Yusof bin Saban.
Semasa kempen berkenaan, MKM juga menyumbangkan tikar getah bersama langsir bagi rumah Haji Jaidin dan Syarikat LSL pula menyumbangkan bahan-bahan membaiki rumah seperti bumbung, dinding dan lantai bagi rumah Haji Jaidin.
Manakala itu, ABDB turut memberi sumbangan berupa tenaga kerja untuk kerja-kerja membaik pulih rumah berkenaan serta menyumbangkan pantaran rumah dan tangga.
Setiausaha Agung MKM, Dayang Hamidah binti Haji Lakem menjelaskan, sumbangan dan bantuan adalah semata-mata untuk meringankan lagi beban kedua-dua warga emas berkenaan agar mereka dapat hidup lebih selesa.
“Orang ramai juga dialu-alukan untuk memberikan bantuan kepada mana-mana pihak yang memerlukan bantuan terutama warga emas yang kurang berkemampuan yang tersisih daripada pandangan masyarakat,” ujar beliau.
Kempen diakhiri dengan penyampaian sijil penghargaan kepada yang terlibat. Juga hadir ialah Pemerintah ABDB, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.