Thursday, July 17, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 anggota Suruhanjaya PBB letak jawatan

    ANKARA, 16 JULAI – Tiga anggota Suruhanjaya Siasatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki secara tiba-tiba meletak jawatan atas alasan peribadi, lapor agensi Anadolu (AA).

    Navi Pillay, Chris Sidoti dan Miloon Kothari menyerahkan surat peletakan jawatan mereka pada Isnin. Menurut Majlis Hak Asasi Manusia PBB, ketiga-tiga pesuruhjaya itu percaya suruhanjaya berkenaan perlu diperbaharui dan keputusan mereka turut dipengaruhi faktor peribadi termasuk usia.

    Suruhanjaya itu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan pelanggaran undang-undang antarabangsa di wilayah yang diduduki, termasuk Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

    Peletakan jawatan itu berlaku ketika ketegangan antara PBB dan Amerika Syarikat (AS) memuncak berikutan tindakan Washington mengenakan sekatan terhadap Francesca Albanese, Pelapor Khas PBB mengenai hak asasi manusia di wilayah Palestin.

    AS menuduh Albanese menyuarakan retorik ‘antisemitik’ dan ‘anti-Israel’ serta menggesa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bertindak terhadap AS dan Israel.

    Washington sebelum ini turut mendesak agar beliau dipecat dan dalam kenyataan pada 1 Julai, AS memberi amaran bahawa kegagalan bertindak akan menjejaskan kredibiliti PBB dan mendorong tindakan balas daripada pihaknya. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda