Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 budak maut terjatuh dalam tasik ais

    LONDON, 12 DIS – Tiga budak lelaki yang terjatuh ke dalam tasik dilitupi ais di tengah England telah meninggal dunia dan mangsa keempat masih berada di hospital ketika pakar ramal cuaca mengeluarkan amaran cuaca teruk untuk sebahagian besar kawasan di United Kingdom.

    Anggota menyelamat mengeluarkan budak lelaki, berusia 8, 10 dan 11 tahun, dari air amat sejuk petang semalam dan mengejarkan mereka ke hospital di West Midlands, kira-kira 160 kilometer dari utara London. Namun mereka gagal diselamatkan selepas mengalami jantung terhenti.

    Kanak-kanak keempat, yang berusia 6 tahun, masih berada dalam keadaan kritikal. Pekerja kecemasan sedang mencari dua budak lain yang dilaporkan bersama kumpulan itu.

    Berita itu keluar tatkala Pejabat Met, perkhidmatan cuaca Britain, mengeluarkan amaran cuaca teruk untuk sebahagian besar kawasan negara. Jalan raya di timur dan tenggara England antara yang paling teruk terjejas. Beberapa pengembara terkandas berjam-jam disebabkan penutupan lebuh raya paling sibuk di UK, M25.

    Lapangan terbang Gatwick dan Stansted mengingatkan tentang penangguhan penerbangan hari ini, dan Lapangan Terbang Bandar London berkata ia mengalami ‘gangguan’ disebabkan pembatalan penerbangan malam semalam.

    Negara itu mencatat malam paling dingin setakat ini pada tahun ini di utara Scotland pada suhu negatif 15.7 darjah Celsius.

    “Kami memaklumkan ramalan cuaca untuk beberapa hari akan datang dijangka amat sejuk,” kata Richard Stanton, Ketua Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat West Midlands. – AP

    Anggota polis mencari di tempat kejadian selepas kanak-kanak terjatuh di tasik di Babbs Mill Park di Kingshurst, Solihull, England, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda