Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 dicekup miliki barang tegahan

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Tiga orang warga asing, dua orang lelaki dan seorang perempuan, yang berumur lingkungan 23 hingga 35 tahun telah ditahan dalam gerakan operasi yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) di kawasan Serasa, Muara pada 10 Ogos lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKED, di sini, ketiga-tiga warga asing berkenaan ditahan atas kesalahan memiliki barang tegahan kastam iaitu 200 karton dan 30 batang rokok pelbagai jenis, 24 botol minuman keras serta dua buah kereta yang dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan.

    Kesemua barang tegahan terbabit telah dirampas dan individu-individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang untuk siasatan lanjut.

    Sehubungan itu, JKED menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara ini dan menghindari daripada melakukan kegiatan-kegiatan penyeludupan atau membawa masuk dan keluar barang-barang tegahan, sekatan dan juga larangan kastam.

    Jabatan itu menekankan bahawa memiliki barang-barang tegahan kastam adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 146, Perintah Eksais 2006.

    JKED turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan aktiviti yang menyalahi perundangan dan peraturan yang dikuatkuasakan oleh JKED.

    Orang ramai dialu-alukan untuk mengongsi maklumat berkaitan apa jua kegiatan penyeludupan barang-barang tegahan kastam atau apa jua aktiviti yang menyalahi perundangan Kastam dengan menghubungi talian utama JKED, 8714422 dan 8721422 atau pejabat kastam yang berdekatan.

    Pihak JKED juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

    Antara barang tegahan yang berjaya dirampas oleh pihak berkuasa semasa operasi yang dijalankan baru-baru ini. – Gambar serahan JKED

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda