3 dipenjara seludup pendatang asing

LONDON, 6 DIS – Tiga lelaki dihukum penjara kerana melakukan pemerdagangan manusia selepas menyeludup tiga remaja dan pemuda warga Vietnam dari Perancis ke Britain, kata polis semalam.

AFP melaporkan, hukuman dikenakan selepas 39 pendatang asing warga Vietnam yang membabitkan 31 lelaki dan lapan wanita itu ditemui mati dalam sebuah trak sejuk beku di Essex, timur London pada Oktober lalu.

Tiga lelaki terbabit, Christian King dan Henry Dunn yang masing-masing berusia 38 tahun, dihukum penjara enam tahun manakala seorang lagi, James Davis, 31, dikenakan penjara empat tahun setengah.

King dari Worcester Park di barat daya London menafikan melakukan konspirasi untuk membantu kemasukan pendatang asing ke Britain namun didapati bersalah atas tuduhan itu.

Manakala Dunn pula didapati bersalah atas tuduhan sama selepas dibicarakan semula serta pembabitan diri dalam aktiviti rangkaian jenayah terancang. – AFP