Friday, September 20, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 ditahan bantu siasatan kes kanak-kanak hilang

    JOHOR BAHRU, 23 JULAI – Polis menahan tiga individu bagi membantu siasatan kes kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di sebuah pusat beli-belah di Iskandar Puteri pada Sabtu.

    Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata dua lelaki dan seorang wanita tempatan berusia 28 hingga 55 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari di sekitar Iskandar Puteri, Johor kelmarin.

    Beliau berkata bagaimanapun kanak-kanak berkenaan, Albertine Leo Jia Hui masih belum dijumpai setakat ini. 

    “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan sebarang maklumat harus segera disalurkan kepada pihak polis.

    Ketua Polis Daerah Iskandar, Puteri ACP M Kumarasan sebelum ini dilapor meminta bantuan orang ramai untuk mengesan kanak-kanak itu yang disedari hilang oleh bapanya di pusat beli-belah berkenaan kira-kira jam 8.30 malam.

    Beliau dipetik berkata kanak-kanak berketinggian lebih kurang 120 sentimeter, rambut panjang berwarna hitam, kulit cerah dan tubuh sederhana kurus itu memakai kemeja T berwarna putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ pada bahagian dada dan berseluar pendek. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda