Wednesday, May 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 ditangkap, miliki barang tegahan kastam

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Dua orang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki penduduk tetap berusia lingkungan 21 hingga 42 tahun telah ditahan atas kesalahan memiliki barang kesalahan kastam iaitu memiliki sebanyak 1,050 karton rokok pelbagai jenis dan satu unit vape.

    Turut dirampas, wang tunai berjumlah $1,752 yang dipercayai hasil daripada penjualan barang-barang kesalahan kastam dan dua buah kenderaan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti penyeludupan.

    Tangkapan tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) melalui Bahagian Penguat kuasa Undang-undang semasa menjalankan operasi bersepadu bersama Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) baru-baru ini di salah sebuah rumah di RPN Kampung Lambak Kanan.

    Kesemua barang-barang terbabit telah dirampas dan individu terlibat telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JKED untuk siasatan lanjut.

    Sehubungan itu, JKED mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mematuhi mana-mana perundangan negara ini termasuk mengelakkan sebarang penglibatan dalam memiliki, menjual ataupun membeli barang-barang tegahan, sekatan dan juga larangan kastam.

    Sesiapa yang didapati terlibat akan dikenakan tindakan undang-undang sepertimana peruntukan kuasa di bawah Perintah Kastam 2006 dan Perintah Eksais 2006.

    JKED turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang telah memberikan kerjasama dalam menyalurkan maklumat-maklumat yang berkaitan.

    Orang ramai dialu-alukan untuk melaporkan mana-mana kejadian yang menyalahi perundangan kastam dan eksais dengan cara menghubungi JKED di talian 8714422 / 8721422 ataupun terus membuat laporan ke pejabat kastam yang berdekatan.

    Antara karton rokok pelbagai jenis bersama dua buah kenderaan yang dirampas semasa operasi di salah sebuah rumah di RPN Kampung Lambak Kanan. – GAMBAR SERAHAN JKED
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda