Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Tiga individu tempatan dan sebuah syarikat telah dikenakan kompaun oleh Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Daerah Brunei dan Muara atas kesalahan mencemarkan alam sekitar menerusi aktiviti pembuangan sampah yang menyalahi undang-undang.
Ketiga-tiga individu berkenaan dikenakan kompaun sebanyak $300 setiap seorang di bawah Bab 12(1)(a), Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30) setelah didapati meninggalkan sisa buangan di kawasan Pantai Jerudong selepas menjalankan aktiviti riadah.
Sementara itu, sebuah syarikat bengkel kenderaan telah dikenakan kompaun $2,000 di bawah Bab 12(1)(f.ii), Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Penggal 30) atas kesalahan membuang sampah alat ganti dan melakukan pembakaran terbuka di kawasan lapang bukan milik syarikat di Kampung Batong.
Kesemua individu dan syarikat yang terlibat telah diarahkan untuk menjelaskan bayaran kompaun dalam tempoh tujuh hari. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil, yang mana sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda sehingga $9,000 bagi individu dan sehingga $30,000 atau penjara 12 bulan bagi syarikat, atau kedua-duanya sekali.
Sehubungan itu, Jabatan Daerah Brunei dan Muara menyeru orang ramai agar sentiasa menjaga kebersihan kawasan awam dan tidak membuang sampah merata-rata.
Sebarang maklumat mengenai pembuangan sampah secara haram boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp ke talian 8321581 dengan menyertakan alamat lokasi dan gambar sebagai bukti.
Semua di atas: Antara kesalah-kesalahan yang dikesan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JDBM