Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 individu peluk Islam di KB

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 11 OGOS – Tiga orang warganegara Brunei Darussalam terdiri daripada dua orang wanita berbangsa Iban dan seorang lelaki berbangsa Cina telah memilih Islam sebagai pegangan hidup baharu mereka setelah melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam majlis pengislaman di Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait, kelmarin.

    Rossieliana anak Robby Sugara, 20, telah memilih nama Islamnya sebagai Nur Hannah Qhayra binti Robby Sugara, dan Rozabella anak Robby Sugara, 17, telah memilih nama Islamnya sebagai Nurbella Kayyisa binti Robby Sugara. Manakala Chin Tze Chien, yang berusia 18 tahun telah memilih nama Islam beliau sebagai Muhammad Mukhlis Chin bin Abdullah.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Pengajian Islam Daerah Belait, Dayang Hazalina binti Dhalan. Majlis turut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari Unit Pengislaman, Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan lafaz ikrar pengislaman daripada saudara-saudara baharu yang diraikan di hadapan Pegawai Unit Pengislaman, Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait.

    Acara diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada para mualaf oleh tetamu kehormat majlis.

    Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, dari Januari hingga 8 Ogos 2024, Pusat Dakwah Islamiah telah mencatatkan seramai 202 orang telah memeluk Islam di seluruh negara. Manakala, 59 orang daripadanya adalah dari Daerah Belait.

    Awang Muhammad Mukhlis Chin semasa melafazkan Dua Kalimah Syahadah.
    Detik-detik semasa Dayang Nurbella Kayyisa memeluk agama Islam.
    Dayang Nur Hannah Qhayra menerima cenderahati daripada Pegawai Pengajian Islam Daerah Belait selaku tetamu kehormat bagi memperingati majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda