JOHOR BAHRU, 18 MEI – Lebih tiga juta telur nyamuk aedes berwolbachia bakal dilepaskan menerusi projek rintis nyamuk aedes berkenaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas di sini, dalam usaha kerajaan negeri mengurangkan kes denggi di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata projek rintis berkenaan yang akan mengambil masa lebih dua tahun, akan dipantau sepenuhnya oleh Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi melihat sejauh mana keberkesanan program berkenaan.
Beliau berkata dengan pelepasan telur nyamuk aedes berkenaan, nyamuk aedes berwolbachia jantan dan betina yang dilepaskan akan mengawan dengan nyamuk aedes liar, menjadikan populasi nyamuk aedes berwolbachia yang banyak sekali gus menyekat penularan virus demam denggi.
“Projek ini telah dilaksanakan sebelum ini di Pulau Pinang dan Selangor, telah terbukti berjaya mengurangkan sebanyak 40 peratus kes denggi di negeri-negeri tersebut.
“PPR Kempas dipilih memandang-kan ia juga satu daripada hotspot denggi dalam Johor Bahru, selain daerah Johor Bahru juga mencatatkan kes tertinggi dalam negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran projek nyamuk aedes berwolbachia di PPR Kempas, di sini, hari ini. – Bernama
