3 kes baharu, 18 sembuh

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 DIS – Hanya tiga kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di negara ini hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 15,429 orang.
Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, menjelaskan tiga jangkitan itu diperolehi daripada 3,099 jumlah ujian makmal dalam tempoh 24 jam lalu, maka kadar kes positif adalah 0.1 peratus sahaja.

Beliau mengongsi statistik itu pada sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Menurutnya lagi, hanya satu kes masih dalam kategori 5 yang memerlukan bantuan mesin pernafasan dan bantuan mesin tambahan heart-lung, (Ecmo) di Unit Rawatan Intensif, Pusat Pengasingan Kebangsaan, manakala tiada kes dalam kategori 4.

“Seramai 18 pesakit telah sembuh, membawa jumlah sembuh kepada 15,189 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 140 kes,” kongsi Yang Berhormat Dato.

Sementara itu, kadar pengisian katil di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara ialah 3.6 peratus.

Beliau turut mengongsikan kadar pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan setakat 22 Disember, dengan 94.4 peratus menerima satu dos vaksin dan 92.7 peratus menerima dos lengkap manakala dos penggalak pula 12.5 peratus.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato berharap semoga rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sentiasa di dalam perlindungan Allah SWT dan terselamat daripada segala musibah dan mara bahaya khususnya dari wabak COVID-19.

Di kesempatan itu juga, beliau telah mengumumkan bahawa Sidang Media Situasi Terkini COVID-19 akan ditiadakan esok (24 Disember) hingga Ahad (26 Disember) dan akan diteruskan pada Isnin (27 Disember).

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa sidang media di Kementerian Kesihatan, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani