Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 konsistensi Beijing dalam hubungan China, AS

    BEIJING, 26 APRIL – Menteri Luar China, Wang Yi mengulangi pendirian Beijing mengekalkan tiga konsistensi dalam mengendalikan hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) hari ini.

    Wang yang juga ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) menyatakan perkara itu semasa mengadakan perbincangan bersama Setiausaha Negara AS, Antony Blinken di sini.

    Beliau berkata, hubungan China-AS secara umumnya kembali stabil, menyaksikan kekerapan dialog dan kerjasama pelbagai bidang bertambah, yang turut mendapat sambutan baik rakyat kedua-dua negara dan juga masyarakat antarabangsa.

    Wang juga mengakui masih wujudnya unsur negatif dalam hubungan China-AS selain berdepan pelbagai gangguan dan sabotaj.

    Menurut beliau, hak pembangunan China yang sah ditindas secara tidak munasabah dan kepentingan teras China sentiasa dicabar.

    Justeru, Menteri Luar menegaskan sikap konsisten yang ditunjukkan Beijing ketika melihat dan mengembangkan hubungan China-AS dari perspektif visi komuniti berkongsi nasib sesama insan.

    “China sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab terhadap rakyat, dunia dan masa hadapan,” kata Wang. Beliau berkata China berpendirian konsisten dalam menggerakkan pembangunan hubungan kedua-dua negara yang stabil, sihat dan mampan berasaskan prinsip saling hormat, wujud bersama secara damai dan kerjasama saling untung.

    Selain itu, Wang juga memberi penekanan kepada tuntutan China yang kekal konsisten, iaitu saling menghormati kepentingan teras satu sama lain. – Bernama

    Antony Blinken (kiri) ketika bertemu dengan Wang Yi di Diaoyutai State Guesthouse kelmarin di Beijing, China. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda