Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JULAI – 3 warga tempatan berumur antara 37 hingga 42 tahun yang disyaki melakukan cubaan untuk mencuri di kawasan jualan air asahan di Tanah Perkuburan Islam An-Naem, Anduki telah dihadapkan ke mahkamah dan telah dibacakan tuduhan di bawah seksyen 379 dan 511 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22, iaitu cuba melakukan curi.

Ketiga-tiga suspek mengaku tidak bersalah dan ditahan sementara untuk siasatan lanjut.
Penahanan ketiga-tiga suspek dibuat oleh Balai Polis Seria, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) susulan rakaman video CCTV yang tular di media sosial pada 15 Julai.
PPDB meminta bantuan orang ramai yang mempunyai apa jua maklumat mengenai kejadian tersebut untuk segera melaporkan ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi terus ke talian 993 untuk membantu siasatan.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat langkah-langkah pencegahan dan sentiasa peka dalam pemantauan kawasan rumah mahupun kampung untuk memastikan keselamatan masyarakat.


