Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Anggota-anggota Balai Polis Temburong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) telah berjaya menahan dua buah kereta bersama tiga lelaki yang disyaki membawa barang tegahan melalui Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) menuju ke Brunei dan Muara pada 25 September lalu.
Menurut kenyataan PPDB, semasa pemeriksaan dijalankan pihak polis telah merampas sebanyak 25 botol minuman keras, 43 karton minuman keras dan 100 karton rokok yang dipercayai telah diseludup dari negara jiran.
Kes tersebut telah dilaporkan di Balai Polis Bangar untuk penyerahan siasatan ke Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan Bahagian Penguatkuasaan Ugama, Cawangan Daerah Temburong bagi tindakan selanjutnya.
Dalam pada itu, pihak PPDB mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti jenayah dan melanggar undang-undang negara yang hanya mendatangkan kerugian pada diri sendiri dan keluarga.
PPDB akan sentiasa bergiat aktif dalam usaha pembanterasan dan pengekangan terhadap kegiatan-kegiatan penyeludupan barangan tegahan di negara ini.




