COPENHAGEN, 4 JULAI – Tiga maut manakala tiga yang lain cedera parah, dalam satu kejadian tembakan di pusat beli-belah Copenhangen, kelmarin, lapor Xinhua memetik polis.
Ketua Polis Inspektor Soren Thomassen dalam satu sidang media hari ini berkata mangsa yang maut dalam kejadian di Pusat Beli-belah Field itu ialah seorang lelaki berusia 40an dan dua remaja.
Menurut Thomassen, kira-kira 5:35 petang waktu tempatan, polis menerima aduan mengenai kejadian tembakan di pusat beli-belah di daerah Amager di selatan Copenhangen.
Sekitar 5:48 petang waktu tempatan, seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun yang membawa selaras senapang dan peluru telah ditahan di luar pusat beli-belah itu, katanya.
Menurut siasatan yang dijalankan, tembakan yang dilepaskan ke arah mangsa dilakukan secara rambang, dan tidak menunjukkan atas dasar jantina atau apa pun, menurut Thomassen. Ketua polis itu tidak dapat memberikan sebarang komen mengenai motif kejadian tersebut setakat ini, tetapi Thomassen berkata polis tidak menafikan kemungkinan ia berkaitan serangan pengganas.
Field dibuka pada 2004 dan merupakan pusat beli-belah kedua terbesar di Denmark. – Bernama/ AFP
