Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 maut, 5 hilang akibat banjir, tanah runtuh

    JAKARTA, 7 MAC – Banjir dan tanah runtuh di pulau utama Indonesia, Jawa, telah meragut tiga nyawa, manakala lima lagi hilang selepas hujan lebat membanjiri lebih puluhan bandar, kata seorang pegawai hari ini.

    Hujan lebat minggu ini melanda ibu kota Jakarta serta bandar sekitarnya, memaksa ribuan penduduk berpindah dan pihak berkuasa menggunakan teknologi pengubahsuaian cuaca.

    Namun, cuaca buruk berterusan di wilayah jiran, Jawa Barat, kelmarin, menjejaskan sebahagian besar daerah Sukabumi, merosakkan rumah serta membanjiri ratusan kemudahan awam termasuk sekolah dan hospital.

    Menurut agensi bencana tempatan, sekurang-kurangnya tiga orang, termasuk seorang kanak-kanak, ditemui maut, sementara lima lagi masih hilang di dua daerah berasingan.

    “Bencana ini disebabkan oleh cuaca ekstrem dan hujan lebat berintensiti tinggi yang berlarutan untuk tempoh yang lama,” kata jurucakap agensi tersebut, Andrie Setiawan, kepada AFP.

    Sebanyak 24 bandar dalam daerah itu terjejas akibat banjir dan tanah runtuh, dengan lebih 200 orang terpaksa berpindah ke kawasan lebih tinggi, tambahnya.

    Indonesia sering mengalami tanah runtuh semasa musim hujan, yang biasanya berlaku antara November dan April.

    Perubahan iklim turut meningkatkan intensiti ribut, menyebabkan hujan lebih lebat, banjir kilat dan tiupan angin yang lebih kuat.

    Pada Januari lalu, sekurang-kurangnya 25 orang maut selepas banjir dan tanah runtuh melanda sebuah bandar di Jawa Tengah. – AFP

    Pasukan penyelamat memindahkan mangsa banjir di Kampung Gumelar, Sukabumi, Jawa Barat kelmarin, selepas banjir kilat melanda kampung tersebut. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda