TOKYO, 6 APRIL – Sebuah helikopter perubatan yang membawa pesakit terhempas ke laut di barat daya Jepun hari ini, mengorbankan tiga daripada enam orang yang berada di dalamnya, menurut Pengawal Pantai Jepun.
Tiga mangsa yang terselamat iaitu juruterbang Hiroshi Hamada, 66; mekanik helikopter Katsuto Yoshitake dan jururawat berusia 28 tahun, Sakura Kunitake, ditemui berpaut pada pelampung penyelamat di perairan dan diselamatkan oleh pengawal pantai. Ketiga-tiga mereka mengalami hipotermia akibat suhu badan yang menurun secara drastik, tetapi masih sedar semasa ditemui.
Mangsa yang maut ialah doktor perubatan Kei Arakawa, 34; pesakit wanita berusia 86 tahun Mitsuki Motoishi, serta penjaganya Kazuyoshi Motoishi, 68. Nahas itu berlaku ketika helikopter tersebut dalam perjalanan dari sebuah lapangan terbang di Wilayah Nagasaki ke sebuah hospital di Fukuoka. – AP
