Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 maut, kereta api tergelincir di Montana

    WASHINGTON, 26 SEPT – Sekurang-kurangnya tiga orang terkorban dan puluhan lagi cedera ketika sebuah kereta api di AS tergelincir semalam di utara Montana, dengan para petugas penyelamat bergegas mengeluarkan semua yang berada di dalam kereta api dengan selamat.

    Kira-kira 141 penumpang dan 16 kru dalam perjalanan dari Chicago menuju ke pantai Pasifik ketika lapan daripada 10 gerabak kereta api itu tergelincir keluar dari landasan sekitar jam 4 petang hari ini.

    “Kami sangat sedih mengetahui apabila pihak berkuasa tempatan mengesahkan bahawa tiga orang telah kehilangan nyawa akibat kemalangan ini,” kata pengendali kereta api Amtrak, sambil menambah bahawa terdapat juga kecederaan yang dilaporkan.

    Tidak jelas apa yang menyebabkan kejadian itu. Rakaman yang disiarkan di media sosial menunjukkan orang ramai menunggu di keliling landasan, beg-beg penumpang berselerakan di sebelah mereka, dengan sebuah kereta api dilihat jatuh.

    Lembaga Pengangkutan dan Keselamatan Kebangsaan mengatakan pihaknya melancarkan pasukan bertindak untuk menyiasat kemalangan tersebut. Amtrak mengatakan pihaknya telah menghantar anggota kecemasan ke tempat kejadian untuk membantu pihak berkuasa tempatan dalam usaha pemindahan. Koordinator Perkhidmatan Bencana dan Kecemasan Montana, Amanda Frickel memberitahu New York Times bahawa ‘lebih daripada 50 orang telah cedera’.

    Dia berkata pasukan penyelamat berada di tempat kejadian dan beberapa buah hospital dan juga helikopter perubatan dalam keadaan bersiap sedia.

    Pihak berkuasa tidak memberikan keterangan lebih lanjut untuk sementara waktu, katanya, sambil menambah “Semua orang yang terselamat telah dikeluarkan dari kereta api.” – AFP

    Gambar oleh Kimberly Fossen menunjukkan orang ramai menyelamatkan mangsa di tempat kejadian kereta api tergelincir di Montana utara-tengah kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda