Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    3 maut, seorang cedera dalam kejadian tembakan di Los Angeles

    LOS ANGELES, 18 OKT – Tiga orang terbunuh dan seorang lagi cedera dalam insiden tembakan kereta ke kereta di Los Angeles, bandar raya terbesar di pantai barat Amerika Syarikat, menurut media tempatan memetik kenyataan polis, kelmarin.

    Jurucakap Jabatan Polis Los Angeles yang dipetik KABC-TV, stesen utama rangkaian televisyen ABC di pantai barat, berkata kejadian itu berlaku kira-kira 9:30 malam waktu tempatan, kelmarin di kawasan kejiranan North Hollywood.

    Polis berkata tembakan dilepaskan dari sebuah kereta sedan berwarna perak yang dinaiki tiga atau empat lelaki, ke arah sebuah kereta Mercedes-Benz berwarna hitam.

    Laporan itu menyebut seorang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi mangsa dalam kereta hitam sempat sampai di hospital tetapi meninggal dunia tidak lama kemudian.

    Belum ada suspek yang ditahan dan motif tembakan masih disiasat. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda